Monday, August 28, 2017

KARYA AHLI | MERDEKA HARI INI SUDAH BERBEZA


[ MERDEKA HARI INI SUDAH BERBEZA ]

...................................................................................................................................................................

"Murid-murid semua, minggu depan 31 Ogos. Hari apa ya?" Bersemangat guru besar kami bertanya.

"Hari Kemerdekaan, cikgu!"

"Ok, baik. Jadi, minggu depan kita akan buat marching sekitar sekolah kita sambil menyanyikan lagu-lagu bersempena merdeka. Semua diminta bersedia ok?" Pengumuman yang dibuat menimbulkan tanda tanya kepada kami. Bagaimana nak marching ramai-ramai ini?

"Ok, cikgu." Balas kami tanpa bertanya lanjut.

Hari demi hari berlalu. Terasa seminggu ibarat sehari. Tarikh 31 Ogos 2006 akhirnya menjengah jua. Kami semua memakai baju T-shirt dan tracksuit pada pagi ini. Takkanlah nak berjalan satu sekolah pakai baju kurung kan?

Persoalan kami akhirnya terjawab juga. Kami membuat barisan seperti bersedia untuk kawad kaki. Tidak sabar rasanya untuk mendendangkan lagu pagi-pagi ini.

"Tanggal tiga puluh satu
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka..."

Tanggal 31 nyanyian Sudirman menjadi pilihan pertama. Masih tersipu-sipu malu kami ingin mengeluarkan suara. Namun, ianya tidak kekal lama apabila lagu Malaysiaku Gemilang menjadi pilihan kedua. Sungguh lantang suara yang dilantunkan sehingga kawasan kejiranan berhampiran dengan kawasan sekolah kami mula dipenuhi manusia. Mereka kelihatan teruja melihat kami. Ada juga yang mula mengikuti perjalanan kami. Respons yang diberikan semakin mengujakan kami. Terasa sambutan ini lebih bermakna kerana kami terdiri daripada kepelbagai bangsa. Melayu, India dan Cina. Kami masih tidak mengenali erti racist pada waktu ini, malahan kami juga merupakan teman baik sesama kami. Setakat ziarah ke rumah, itu sudah menjadi kebiasaan.

...................................................................................................................................................................

"Alya, sudah-sudahlah berangan tu. Daripada zaman sekolah sampai zaman universiti tak berubah lagi kau ni." 

Seha sudah mula membebel. Aku, seperti biasa hanya mampu tersengih.

Hari ini 31/8/2017. Sudah lebih sepuluh tahun berlalu, namun kenangan bersama mereka masih segar dalam ingatan. Sudah lama aku tidak bertegur sapa dengan mereka. Hanya sekadar menjeling di laman maya sahaja. Jika ingin bertegur sapa, mungkin pada hari kelahiranku sahaja. Jujur, aku sangat merindui persahabatan kami. Bukan seketika, bahkan lima tahun aku bersama mereka banyak mengajar aku erti kesatuan walaupun berlainan warna kulit.

Namun, zaman sekarang ternyata sudah berbeza. Isu perkauman makin menjadi mainan media. Masing-masing saling melagakan. Ini bukan situasi yang aku bayangkan sewaktu di zaman sekolah rendah. Aku sudah tidak dapat menilai erti kesatuan.

Aku juga merasakan sambutan kemerdekaan di Malaysia hanya tinggal sekadar sambutan sahaja. Hanya bersuka-ria di Dataran Merdeka tanpa memaknai erti kemerdekaan. Belajar sahaja subjek Sejarah, tetapi tidak pernah menghargai kesusahan orang-orang terdahulu memperjuangkan kebebasan daripada penjajah buat negara. Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Datuk Maharaja Lela dan ramai lagi yang banyak menyumbang jasa kepada negara.

Ya, aku masih belum lahir ketika itu. Bagaimana aku dapat merasakan situasi yang berlaku? Aku kira, kisah yang diceritakan oleh ayahku banyak memberi kesedaran kepada diriku. Zaman dijajah oleh Jepun banyak diceritakan kepada aku. Mereka sering memeriksa barangan yang dibawa oleh rakyat tempatan. Tidak mengira tempat. Sungai Siput antara kawasan hotspot komunis pada ketika itu. Kisah-kisah sebegini perlu ditular lebih lagi berbanding kisah-kisah artis yang dipenuhi skandal. Sejarah akan berulang jika kita tidak mengambil pelajaran daripadanya.

Belum disebut lagi kisah-kisah perjuangan ulama' terdahulu yang berjuang membebaskan negara daripada kejahilan. Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong bukan nama yang asing buat negara. Walaupun buku teks Sejarah hanya mencatatkan mereka sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan, namun sumbangan mereka untuk membuang karat-karat jahiliyah dalam negara perlu diangkat. Sememangnya, ini merupakan satu muhasabah buat aku dan semua penuntut ilmu. Beramal dengan ilmu yang telah dipelajari. Sememangnya, usaha untuk mengubah fenomena hedonisme yang semakin merebak bukannya mudah, tetapi tidakkah membazir usaha ulama' terdahulu sekiranya bukan kita yang meneruskan perjuangan ini? Bukan sekelumit cuma, bahkan selautan rasa terkilan yang aku tahan selama ini tidak ramai yang merasainya.

"Alya, jom. Malam ini ada malam munajat kemerdekaan." 

Seha mengingatkan aku akan program yang dianjurkan pada malam ini sekaligus menutup isi hatiku yang semakin membara.

Aku dapat merasakan sambutan kemerdekaan pada tahun ini pasti unik. Kenapa? Hari ini sambut kemerdekaan, esoknya pula akan sambut hari kemerdekaan buat umat Islam pula. Hari raya kan. Bukan sahaja dapat mengenang kembali sumbangan tokoh-tokoh negara, bahkan memanggil semula ingatan berkaitan sirah para Nabi yang banyak berkorban demi menyampaikan Islam ke seluruh dunia.

"Jom, Seha! Kita sambung rantai perjuangan ini!"

- Study the past if you would define the future. -
Confucius

...................................................................................................................................................................

Tinta Cerpen oleh :
Nur Aliaa binti Meor Idris
Pelajar Perubatan Universiti al-Azhar, Kaherah 

Friday, August 25, 2017

MAKLUMAN | PELANTIKAN AHLI JAWATANKUASA KHAS PILIHANRAYA KPIPM SESI 2016/2017

[ MAKLUMAN PELANTIKAN AHLI JAWATANKUASA KHAS PILIHANRAYA KPIPM SESI 2016/2017 ]

🔰Dengan ini dimaklumkan bahawa barisan AJKT KPIPM sesi 2016/2017 telah bersetuju melantik :

💼 PENGARAH KPR :

- Hanif bin Khairuddin
- No KPIPM 2859

💼 TIMBALAN PENGARAH KPR :

- Nabilah binti Mohd Mokhtar
- No KPIPM 2104

🔰Sehubungan dengan itu, gerak kerja AJK KPR KPIPM sesi ini akan bermula dalam jangka masa yang terdekat ini.

"Bersih, Cekap, Adil"

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Monday, August 21, 2017

YDP BKAN | KELANGSUNGAN PROGRAM BERSAMA BKAN

KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI

KELANGSUNGAN PROGRAM BERSAMA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI
 
11 Ogos 2017 (Jumaat) - Perjumpaan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri telah diadakan bertempat di Asrama Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Hayyu Sabiek Kaherah. Perbincangan  yang telah dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad Arif bin Hamzah selaku Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir (BKPJM)  adalah bertujuan menyelaraskan beberapa program mega secara bersama. 
 
Perbincangan ini bagi menekankan berkenaan kelangsungan kebersamaan Badan Kebajikan Anak Negeri dalam membawa kebajikan kepada ahli disamping memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan mahasiswa/wi sebagaimana yang telah dibawa dalam Resolusi Kongres Badan Kebajikan Anak Negeri yang lepas.
 
Sebagaimana program-program yang telah dilaksanakan sebelum ini, peringkat Yang Dipertua telah bersetuju untuk melaksanakan beberapa program sama ada melibatkan semua negeri atau beberapa negeri sahaja. Ia adalah mengikut kepada kesesuaian dan manfaat yang boleh diberikan kepada ahli. 

Segala makluman berkenaan dengan program-program tersebut akan dimaklumkan melalui media rasmi Badan Kebajikan Anak Negeri.
 
Semoga kerjasama yang dijalinkan ini akan memberi manfaat kepada semua ahli dalam memahami makna sebenar kesatuan dan meletakkan semangat ukhuwah islamiah dalam setiap pelaksanaan gerak kerja. 


KEHADIRAN,
 
YDP KPT
(AMIR SYAHIR BIN ABDULL AZIZ)
 
YDP KPIPM
(KHAIRUL NAIM BIN ABD RAZAK)
 
YDP KPKM
(ABDUL KARIM BIN MAKHTAR)
 
YDP BKASM
(MUHAMAD NAZIF BIN SHAARI)
 
YDP BKMIP
(SYED MUHAMMAD HAZIMUDDIN BIN SYED HAMID)
 
YDP BKPJM
(MUHAMMAD ARIF BIN HAMZAH)
 
YDP BKKIMM
(MUHAMMAD ANUAR BIN ABDULLAH)
 
YDP KPT
(MUHAMMAD YUSUF BIN MARZUKI)
 
YDP BKPPPM
(AHMAD FARIZ BIN MOHD ZAINI)
 
YDP BKAWM
(ABDUL WAFI BIN ALIAS)
 

TIDAK HADIR,
 
YDP MKKK
( MUHAMMAD SYAZWAN FAIZ BIN SHAHROM )

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"

Sunday, August 6, 2017

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN

PEMANGKUAN AHLI JAWATANKUASA HEWI KPIPM SESI 2016/2017

Pemangkuan jawatan adalah seperti berikut :

🔰Ustazah Nur Afifah Najihah binti Ahmad Khalil
(Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2016/2017)

DIPANGKU OLEH :

🔰 Ustazah Nurul Izzaty binti Osman
(Ketua HEWI KPIPM sesi 2016/2017)

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Saturday, July 22, 2017

MINDA PIMPINAN | AKHLAK MULIA YANG SEMAKIN MENGHILANG



AKHLAK DALAM KALANGAN MANUSIA KIAN HILANG

Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum Waramatullahi Wabarakatuh..

     Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, Penguasa Hari Pembalasan. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas Nabi Muhammad, penutup sekalian nabi dan rasul, ahli keluarga Baginda, para sahabat, dan para pejuang agama Allah sepanjang zaman.

     Manusia adalah makhluk Allah yang teristimewa yang memiliki tabiat dan mentaliti yang mempengaruhi amalan dan tingkah lakunya, maka keperibadian inilah yg menjadi perbicaraan dan perbincangan yang utama dalam sesebuah akhlak.

     Memang tidak dapat disangkalkan lagi bahawa akhlak merupakan nadi utama dalam pembangunan rohani manusia. Setiap tamadun umat manusia dari dahulu sehingga kini ianya terbina daripada asas akhlak ataupun dikenali sebagai tamadun kemanusiaan.

     Di sini, bukanlah takrif akhlak yang cuba kita kupaskan, namun masalah akhlak yang semakin hilang dalam kalangan manusia itu sendiri baik dewasa, remaja mahupun kanak-kanak.

     Mutakhir ini, akhlak dalam kalangan kita cukup rendah sehingga boleh menimbulkan fitnah yang cukup besar bagi umat Islam itu sendiri di mana, telah wujudnya manusia yang mengambil enteng perihal akhlak sehinggakan berlaku ketidaktarikan golongan bukan Islam untuk mendalami Islam, bahkan terus menolak dan menganggap Islam agama yang tiada kedamaian. Maka, ini bukanlah satu contoh akhlak yang baik bagi umat Islam. Persoalannya, mengapa kita perlu mengambil tindakan yang merugikan agama kita sendiri?

     Sebagaimana yang kita tahu, kepentingan akhlak yang mulia akan mencorak tingkah laku dan kehidupan seseorang. Apabila sesebuah akhlak yang mulia telah menjadi sebati dalam diri maka akan lahir tindakan spontan bergantung kepada nilai akhlak yang ada padanya. Akhlak juga mencerminkan keimanan seseorang. Dengan erti kata lain, iman yang sempurna akan melahirkan akhlak yang mulia. Mafhum dalam sebuah hadis yang berbunyi, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (HR. Abu Daud, Ahmad dan Tirmidzi).

     Selain itu, akhlak adalah pemangkin perubahan. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa keruntuhan akhlak dan moral akan menggagalkan usaha kepada perubahan. Sepertimana yang telah berlaku di Turki ketika kejatuhan Khilafah Uthmaniah, keruntuhan nilai akhlak dalam kalangan pemerintah dan tentera-tenteranya merupakan faktor utama kejatuhan khilafah ini. Jadi, nilai sesebuah akhlak itu sangatlah penting buat umat Islam kini.

     Tidak ada manusia yang terbaik akhlaknya melainkan Rasulullah S.A.W.. Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Saidatina Aisyah R.A tentang akhlak Rasulullah S.A.W.. Lalu Aiyah R.A menjawab: Akhlak Rasulullah S.A.W adalah Al-Quran. (HR Muslim).
Dan banyak sirah rasulullah yang boleh kita teladani.

     Namun, kita bukanlah tuhan untuk menentukan kesempurnaan akhlak seseorang, tetapi baik dan mulianya akhlak itu jika digunakan ke arah yang lurus dan betul mengikut landasan syarak serta berdoa agar seluruh kesejahteraan umat Islam di dunia ini terpelihara dengan akhlak yang baik.

     Berdasarkan kata hukamak ‘Lisanul Hal Aqwa Min Lisanul Maqal’ yang bermaksud bahasa sikap itu lebih tinggi daripada bahasa ucapan. Ini dapat membuktikan sesuatu tindakan yang kita lakukan itu lebih penting berbanding percakapan indah semata.

     Justeru itu, Akhlak Islamiyah perlu dipraktikkan dalam kalangan umat Islam sendiri agar kesatuan tercapai, terutamanya generasi yang bakal memimpin negara. Dan perhatikanlah, mencontohi akhlak mulia Rasulullah S.A.W. hugs merupakan sunnah Rasulullah yang semakin dilupakan oleh umatnya. Semoga kita semua termasuk dalam golongan manusia yang mencontohi Rasulullah SAW dan menjadikan Baginda Qudwah Hasanah dalam segenap aspek yang dituntut.

Siiru ‘ala barakatillah…

“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”

Tinta Pimpinan oleh :
Nur Afifah Najihah binti Ahmad Khalil
Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2016/2017


Wednesday, July 12, 2017

Madrasah Ramadan Marhalah Maghfirah

IHYA TARBAWI RAMADAN 2017

KAHERAH - 25 Mei 2017 hingga 23 Jun 2017, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah mengadakan satu program bersempena bulan Ramadan dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak. Program tersebut telah diberi nama Ihya' Tarbawi Ramadan 2017 dengan singkatan IHTIRAM'17. Program ini di bawah seliaan Biro Dakwah & Tarbiah KPIPM sesi 2016/2017 bertemakan "Madrasah Ramadan Marhalah Maghfirah”.

   IHTIRAM'17 telah bermula dua hari sebelum Ramadan dan aktiviti IHTIRAM'17 bermula pada hari kedua Ramadan 28 Mei 2017. Majlis Pelancaran dan Malam Perutusan IHTIRAM'17 telah diadakan pada hari Khamis 25 Mei 2017 bersamaan 28 Syaban 1438 H pada waktu malam setelah selesai bacaan yasin bagi program Ehya' al-Jum'ah. Majlis tersebut bermula dengan ucapan daripada Pengarah IHTIRAM'17, Ustaz Muhammad Nurul Ihsan bin Mohd Husin dan diteruskan dengan ucapan daripada YDP KPIPM Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak seterusnya ucapan daripada perasmi Encik Munawir bin Mohamed Noh selaku Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak. Seterusnya majlis diteruskan dengan gimik pelancaran yang disempurnakan oleh perasmi dan diakhiri dengan kata-kata penutup oleh pengerusi majlis.

   Pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan. Antaranya adalah Raudhatul Jannah iaitu Daurah Ilmiah KPIPM. Antaranya Daurah kitab Talim al-Muta'allim Tariq at-Ta'allum yang telah disampaikan oleh YDP KPIPM Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak, Daurah kitab Taqrir Azhari lil- Anam yang membincangkan bab puasa telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat KPKM sesi 2016/2017 iaitu Ustaz Syed Ahmad Ridwan bin Syed Mad Zain dan Daurah Kitab Bahjatul Mardhiah yang telah disampaikan oleh Pengarah Akademi Tok Guru KPKM sesi 2016/2017, Ustaz Abdullah bin Hussin.

   Seterusnya telah berlangsung program yang dinamakan Pondok ar-Rayyan, antara aktiviti yang telah dijalankan adalah Forum "Related Sunnah In Islam" , Ramadan Cinema, Diskusi Kitab Risalah ila Akhi Fillah, Tausiah Ammah daripada Syeikh Islam bin Majdi Hilal, teori dan praktikal Sembelihan, Program PEMANDU dengan slot yang bertajuk INFIRU, dan terakhir, Forum Bersama Bersatu. Forum Bersama Bersatu ini dijalankan bagi melaksanakan usul tergempar KPIPM iaitu Bersama mempertahankan hak Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKIMM) dan Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) bagi menyatakan solidariti mahasiswa yang telah disampaikan oleh dua orang panel dan moderator daripada kalangan AJKT KPIPM iaitu Ustaz Muhammad Nur Ikhwan bin Shamsudin (Ketua BTKKR KPIPM), ahli panel pertama merupakan YDP BKKIMM, Ustaz Muhammad Anuar bin Abdullah dan ahli panel kedua merupakan YDP BKPJM, Ustaz Muhammad Arif bin Hamzah.

   Antara yang lain adalah program Madrasah Ramadan iaitu tazkirah Subuh. Madrasah Ramadan yang pertama bertajuk Ramadan Madrasah Tarbiah yang telah disampaikan oleh Ketua HEWI KPIPM, Ustazah Nurul Izzaty binti Osman. Manakala Madrasah Ramadan siri kedua pula bertajuk Ibrah Perang Badar Membuka Jalan Dakwah yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hazim bin Mohd Halim yang merupakan AJK Badan Penasihat KPIPM. Seterusnya, siri yang ketiga, Tazkirah Nuzul al-Quran yang bertajuk Al-Quran Manhaj al-Hayah yang telah disampaikan oleh Ustazah Siti Hajar binti Ahmad Daud yang merupakan Timbalan Ketua HEWI KPIPM sesi 2016/2017. Dan Madrasah Ramadan siri terakhir, tazkirah bertajuk Maza bada Ramadan disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fariz bin Mohd Zaini, YDP BKPPPM.

    Di samping itu, IHTIRAM'17 telah menjemput Imam Khusus daripada pelajar Shoubra iaitu slot Bersama Imam Terawih Jemputan dengan perkongsian bacaan qiraat. Antaranya adalah Ustaz Muhamad Sufian bin Muhammad, imam jemputan dengan bacaan qiraat Qalun dan Bazzi, Ustaz Muhamad Tajul Adnin bin Abd Aziz dengan bacaan qiraat Khallaf, Hamzah dan Khallad, dan Ustaz Nur Muhammad Anas bin Mohd Razak, beliau membacakan riwayat Warsh An Nafi & riwayat As-Susi An Abu Amr.

    Selain itu, telah diadakan Kembara Tarawih khusus bagi akhawat, iaitu solat tarawih di masjid rakyat tempatan. Antaranya di Masjid Ibad, Masjid Tantawi dan Masjid Musa. Seterusnya, telah diadakan aktiviti edaran Shantoh Ramadan iaitu edaran kurma dan bubur lambuk sekitar selepas asar yang melibatkan YDP dan Barisan AJKT, Ketua HEWI dan Barisan AJK HEWI serta adhoc pelaksana IHTIRAM'17 dengan mengedarkannya kepada kesemua ahli KPIPM yang terdiri daripada ahli Wisma Baitul Ridzuan, Baitul Rahman, rumah sewa dan mutazawwijin di sekitar Hayyu Sabiek. Aktiviti menarik yang lain adalah pertandingan kuiz, poster dan wallpaper Ramadan. Pertandingan tersebut adalah untuk meningkatkan kemahiran dan thaqafah ahli.

   Pada 23 Jun 2016 bersamaan 28 Ramadan 1438H, telah berlangsung Majlis Penutupan IHTIRAM'17 dan telah dibuat secara berasingan antara ikhwah dan akhawat. Bagi sebelah ikhwah, majlis telah berlangsung di padang futsal Wafa El-Amal. Antara aktiviti yang diisi untuk ikhwah adalah permainan futsal, penyampaian hadiah bagi pertandingan sepanjang IHTIRAM 17 dan sahur jamaie. Bagi sebelah akhawat pula, majlis telah berlangsung di Dewan Syeikh Sya'rawi, Baitul Rahman. Antara aktiviti yang telah dilakukan adalah aktiviti BBQ, Iftor Jamaie, tazkirah ringkas yang telah disampaikan oleh Ustazah Nazuha binti Suhimi yang memegang jawatan sebagai fasilitator KPIPM, seterusnya ucapan penutup dan diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan sepanjang IHTIRAM  17.

    Buat akhirnya, besarlah harapan daripada pihak kami Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2016/2017 agar program sebegini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah islamiah dalam kalangan ahli Perak di bumi Mesir. Segala kerjasama yang baik daripada semua peringkat sama ada secara langsung atau tidak langsung kami ucapkan jazakumullahu khairan kathira.

"Madrasah Ramadan Marhalah Maghfirah”

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN

Disediakan oleh :
Setiausaha IHTIRAM'17,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir 
sesi 2016/2017.

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM