Wednesday, October 27, 2010

TERUSKAN PERJUANGANMU



26 Oktober, Kaherah – Satu program motivasi telah berjaya dianjurkan oleh Biro Pelajaran Ilmiah, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sesi 2010/2011. Program tersebut telah dirancang khas buat mahasiswa-mahasiswi baru KPIPM. Ia turut menyaksikan penglibatan bersama mahasiswa baru dari BKAN taakhi Zon A, antaranya BKAN Perlis dan Terengganu.

Program motivasi berbentuk ceramah itu telah disampaikan oleh Anggota Lembaga Penasihat MKKK,Al-Fadhil Ustaz Abu Bakar bin Razak yang ditemani oleh YDP KPIPM, Al-Fadhil Ustaz Khairul Ashraf bin Mohd Khir. Program tersebut bertujuan menaikkan kembali semangat para mahasiswa/wi baru lantaran keputusan imtihan qabul baru-baru ini. Bermula selepas solat Maghrib, program berlangsung selama 2 jam dengan ceramah yang cukup menarik berkisar tentang matlamat sebenar kedatangan pelajar ke bumi Anbiya’ ini. Menjadi seorang ulama’ yang tegar merupakan keypoint dalam penyampaian Al-Fadhil Ustaz Abu Bakar pada malam tersebut. Turut diselitkan aktiviti hands-on dan sesi soal jawab.


Program motivasi tersebut diakhiri dengan persembahan slide show yang disediakan khas buat mahasiswa-mahasiswi baru KPIPM berkisar tentang `kembara ilmu’ mereka, bermula di Malaysia hingga ke bumi Mesir ini. Moga-moga program tersebut berjaya menaikkan kembali semangat para mahsiswa baru bagi meneruskan kembali perjuangan ilmu ini biar apa pun keputusan yang bakal mereka ambil.

Perhatian : Pengambilan sijil Anugerah Cemerlang

Perhatian kepada semua mahasiswa/wi KPIPM yang telah berdaftar di dalam Majlis Ramah Mesra Delegasi Perak dan Anugerah Cemerlang yang lalu,anda boleh menuntut hadiah dan sijil anda di pejabat pentadbiran KPIPM (aras 6,Wisma Darul Ridzuan A) bagi ikhwah dan pejabat Hewi (Syaqah 5,Wisma Darul Ridzuan A) bagi akhawat sesegera yang mungkin.

Segala jasa baik anda amat kami harapkan.


Perjumpaan KPIPM bersama pegawai HEP Perak



25 Oktober,Kaherah – Satu perjumpaan rasmi telah diatur antara wakil KPIPM bersama pegawai HEP Perak, En. Abdul Muhaimin bin Abdul Majid. Perjumpaan ini adalah untuk membincangkan mengenai beberapa masalah yang berlaku khususnya kepada anak-anak perak di bumi Mesir ini.

Perbincangan yang bertempat di pejabat pegawai HEP Perak,Wisma Darul Ridzuan B itu,antaranya membincangkan mengenai permasalahan pendidikan anak-anak Perak. Khususnya mengenai keputusan peserta USMB ’10 di dalam imtihan qabul yang baru-baru ini. Dan juga beberapa permasalahan yang lain semasa perjalanan Program USMB ’10 ini.

Topik yang juga menjadi perbincangan ialah mengenai kebajikan anak-anak Perak. Topik zakat juga dibincangkan dalam memastikan segala proses berjalan dengan baik. Dan pihak pegawai bersetuju untuk memusatkan segala urusan zakat adalah di bawah Setiausaha Agung KPIPM,saudara Ibnu Abbas bin Azizuddin.


Juga beberapa perbincangan dan makluman dapat dikongsi bersama di antara pihak pegawai dan KPIPM. Semoga hubungan yang baik ini dapat diteruskan bagi memastikan kebajikan ahli terjaga dan sentiasa berada di tahap yang memuaskan. Semoga segala amalan yang dilakukan bersama mendapat bimbingan Allah S.W.T dalam menuju redha Ilahi.

Saturday, October 23, 2010

Perhatian : Tajdid Minhah Jam'iyah Syar'iyah (Kaherah)



Kepada penerima Minhah Jam'iyah Syar'iyah (Kaherah),sila hantar tasdiq dan salinan passport kepada saudara Amirul Fahmi bin Zulkifli,Ketua Biro Tabung Kebajikan,Kesenian dan Riadhah KPIPM 2010/2011 sebelum 28 Oktober 2010 untuk tajdid minhah.
Sekian dimaklumkan.

Friday, October 22, 2010

Makluman : Pengambilan Minhah Jam'iyah Syar'iah (Kaherah)




Biro Tabung Kebajikan,Kesenian dan Riadhah memaklumkan kepada ahli KPIPM yang berdaftar dan masih menerima minhah tersebut sebelum ini,anda bolehlah mengambil di Masjid Syarbini, Hayyu 'Asyir pada 24 & 25 Oktober 2010 ini,pada jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang.

Sekiranya terdapat sebarang masalah dalam penerimaan atau keciciran nama,sila serahkan nama penuh,salinan passport dan no. minhah kepada saudara Amirul Fahmi bin Zulkifli,Ketua Biro Tabung Kebajikan,Keseniandan Riadhah KPIPM 2010/2011 sebelum 28 Oktober 2010.

Thursday, October 21, 2010

Kenyataan Rasmi Pengeusi DPMT Mengenai Isu Surat Rasmi JPMK kepada Medic Mesir


DPMT, 20 Oktober 2010 - Assalamualaikum... Makluman kepada seluruh warga Tanta yang dirahmati Allah S.W.T hendaknya. Pihak DPMT dengan penuh rasa bertanggungjawab ingin menyentuh mengenai isu surat yang dikeluarkan oleh pihak JPMK kepada Agen Medic Mesir iaitu surat sokongan dan kebenaran menubuhkan Academic Centre ( AC) di Tanta yang tersiar di tantamedicmesir.blogspot.com.
Rentetan daripada surat yang dikeluarkan itu, kami menyedari terdapat beberapa kesalahan dan keraguan yang boleh dipertikaikan mengenai surat yang telah dikeluarkan oleh pihak JPMK kepada pihak Agen Medic Mesir itu.



Dengan ini, saya MOHD SULAIMAN BIN ISMAIL selaku Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) bersama saudara AZHAN BIN HAMDAN selaku Pengerusi Perubatan cawangan Tanta (PCT) telah mengadakan perjumpaan secara rasmi dengan Encik Shaiful Anuar Bin Mohammad yang merupakan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) di pejabatnya untuk mendapat penjelasan mengenai kesahihan surat tersebut.

Semasa perjumpaan, saya telah mengemukakan contoh surat yang dikeluarkan oleh pihak JPMK kepada Agen Medic Mesir ini. Hasil penilitiannya, beliau menyatakan bahawa tidak tahu menahu langsung mengenai surat yang dikeluarkan itu. Ujarnya lagi, beliau begitu musykil dengan kesahihan pengeluaran surat tersebut dan akan mendapatkan kepastian dan maklum balas dari pihak JPMK sendiri.

Antara yang kami utarakan dalam pertemuan tersebut,kami menyatakan terdapat beberapa kesalahan dalam surat yang dikeluarkan oleh pihak JPMK. Antaranya, surat tersebut tiada nombor rujukan rasmi, kesalahan tatabahasa dan tandatangan yang tidak bernama akan tetapi menggunakan kepala surat rasmi JPMK sepenuhnya.

Justeru, seharusnya tidak berlaku sama sekali kesalahan tersebut kerana ianya menyalahi protokol surat rasmi jabatan kerajaan dan boleh menimbulkan keraguan terhadap ketelusan dan integriti JPMK ini.

Dengan bukti yang ditimbulkan ini, surat ini dikira tidak sah dan tidak boleh dijadikan sokongan kepada agen Medic Mesir sama sekali kerana terdapat banyak keraguan dan ketidaksahihannya.

Saya berharap dengan kenyataan ini, seluruh ahli di Tanta dari kalangan Pengajian Islam dan Perubatan jelas mengenai status surat ini yang telah dikeluarkan secara rasmi oleh JPMK.

Sekian, terima kasih.

Oleh,
MOHD SULAIMAN BIN ISMAIL,
Pengerusi,
Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta
Sesi 2010

Wednesday, October 20, 2010

PERHATIAN : PEMOHON DERMASISWA FISABILILLAH MAIPK TUNTUTAN DAN RAYUAN 2009






Contoh surat rayuan

Sila klik untuk lebih jelas.

Perhatian kepada semua pemohon dermasiswa fisabilillah MAIPk tuntutan dan rayuan 2009 (nama tertera di atas),anda diminta untuk memuat turun sisipan borang zakat di sini. Ini adalah tindakan susulan daripada MAIPk untuk pemohon dermasiswa fisabilillah yang tidak diluluskan permohonannya pada sesi lepas (2009/2010).

Pastikan sisipan borang zakat tersebut diisi dengan tepat. Dan sila hantar maklumat tersebut ke alamat email,Setiausaha Agung KPIPM,saudara Ibnu Abbas bin Azizuddin (putraazhari@yahoo.com) @ emel rasmi KPIPM (kpipm64@yahoo.com).



Kepada Pemohon Dermasiswa Fisabilillah MAIPk Rayuan di atas,pastikan anda sertakan bersama surat rayuan anda seperti contoh surat rayuan di atas.

Sila hantar maklumat tersebut dengan segera sebelum tarikh tutup pada 25/10/2010. Sebarang masalah boleh terus menghubungi saudara Ibnu Abbas bin Azizuddin,Setiausaha Agung KPIPM 10/11 di talian +2011-0313027.

Saturday, October 16, 2010

800 Mahasiswa Baru Bersatu Di KEJORA 2010



KAHERAH, 15 Oktober - Seramai 800 orang mahasiswa dan mahasiswi baru mengikuti program Kembara Jejak Realiti (KEJORA) yang berlangsung di Ismailliyah pada 11, 12, 13 dan 14 Oktober baru-baru ini.

Program selama 4 hari itu berlangsung dengan jayanya dengan membawa tema "Ke Arah Melahirkan Generasi Al-Quran Yang Unik".

PMRAM dengan misinya pada tahun ini dengan membawa tema yang cukup besar iaitu "Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah" memainkan peranannya yang cukup penting bagi membina fikrah bagi mahasiswa-mahasiswi baru.

Program tersebut telah menghimpunkan keseluruhan mahasiswa mahasiswi dari 12 buah Badan Kebajikan Negeri (BKAN) yang bernaung dibawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Objektif program ini juga, selain menyatukan mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai negeri, program ini berjaya memupuk sifat modal insan, motivasi, ukhwah, dan kebersamaan.

Selain itu, antara slot di dalam program KEJORA kali ini ialah Sejarah PMRAM, Motivasi : Lau Kana Bainana Rasulullah, Debat Mahasiswa Islam, Hak Mahasiswa : Aku Bangga Jadi Mahasiswa Islam, Slot Kepimpinan PMRAM, BKAN & DPM, Gerak Kerja Berkumpulan (GKB) dan juga aktivi riadhah Explorace.




Program ini juga berjaya menghimpunkan 80 orang fasilitator di seluruh Cawangan untuk membantu menggerakkan program Kembara Jejak Realiti (KEJORA) 2010.

Oleh kerana jumlah tahun ini terlalu ramai, PMRAM telah mengadakan program tersebut di dua tempat yang berbeza iaitu di Muaskar dan Nuzul Syabab.

BPR KPIPM 10/11 : BAHAYA MEROKOK !!!




BAHAYA MEROKOK !!!!

Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpenggaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka.

Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yg dipaparkan melalui media massa, ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini.


Hadith Rasullullah s.a.w. :

1. "Bezakan diri mu dari kaum Musyrikin" ( Al-Bukhari & Muslim)

2. "Bukan dari golongan kita, siapa yang menyerupai orang yang bukan dari kita. Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nashrani" (At-Termidzi)

3. "Barangsiapa yang meyerupai sesuatu kaum, maka dia terkira dari golongan itu" (Abu Daud)

Kandungan Berbahaya Dalam Rokok (Fakta)
Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anaiBottom of Form(arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut"bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok
Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.

Menurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.Betapa gembiranya orang kafir, tidak perlu berperang menggunakan senjata terhadap umat Islam kerana kita sendiri yang menjadi ejen penghancur ummah kita. Analisa siapa kita…


Friday, October 8, 2010

Jaulah Makam Auliya '10 : "Perlu diadakan lagi"



KAHERAH,3 Oktober – “Ribat Ukhuwah Teladani Sejarah”. Demikianlah ayat yang menjadi tema kepada program Jaulah Maqam sekitar Kaherah pada tahun ini.

Program yang saban tahun diadakan ini adalah bertujuan untuk serba sedikit pendedahan sejarah mengenai maqam-maqam para auliya’ yang berada di sekitar Kaherah.

Jaulah kali ini, terbahagi kepada 2 sesi dan melibatkan seramai 136 orang peserta. Hari pertama melibatkan 82 orang ikhwah dan hari kedua pula melibatkan 54 akhawat.

Program tersebut bermula pada jam 7.30 pagi dengan perhimpunan peserta di perkarangan Wisma Darul Ridzuan A. Kemudian bertolak pada jam 8.00 pagi. Antara maqam yang diziarahi ialah maqam Syeikh Soleh, Ibnu Hisyam al-Ansari, Imam Sya’rani, Imam Syamsuddin ar-Ramli dan Sultan al-Hanafi. Zon B, Sayyidah Zainab, Sayyidah Ruqayyah, Ibnu Sirin, Sayyidah Atiqah, Syeikh Ali Ja’fari, Sayyidah Nafisah, Masjid Amru, Imam as-Syafie, Syeikh Zakaria al-Ansari dan banyak lagi.

Sepanjang perjalanan menziarahi maqam-maqam para auliya’,semua peserta mendengar penerangan yang disampaikan oleh saudara Muhammad Firdaus bin Aznan. Beliau menerangkan mengenai sejarah-sejarah yang tersimpan disebalik maqam-maqam yang masih ada sehingga kini.

“Kami mengharapkan agar program seperti ini dapat memberikan manfaat kepada para peserta di dalam mengenali sejarah dan kisah mengenai para auliya’ di bumi Mesir ini”. Ucap pengarah program,saudara Mohd Amilrol Anua bin Osman apabila ditemu ramah wartawan blog.


“Program seperti ini harus diteruskan lagi kerana pendedahan mengenai sejarah para auliya’ ini adalah kurang dikuasai oleh ahli kita,jadi diharapkan program seperti ini akan dianjurkan lagi pada masa-masa yang akan datang”. Luahan salah seorang peserta program tersebut.

Hanya Allah S.W.T yang dapat membalas segala bakti dan jasa yang telah diberikan oleh semua koordinasi pelaksana program dalam memastikan program berjalan dengan lancar.

Sunday, October 3, 2010

BDT KPIPM 10/11 : PUASA ENAM



OLEH : Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2010/2011

Rasulullah SAW bersabda : “barangsiapa yang berpuasa di bulan ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan syawal, maka pahalanya seolah - olah berpuasa selama setahun”. ( Riwayat Muslim).

Puasa enam merupakan puasa sunat yang dikerjakan selama enam hari pada bulan Syawal. Barangsiapa yang mengerjakan puasa ini samada secara berturut - turut ataupun berselang hari maka akan diberi ganjaran pahala seolah– olah berpuasa selama setahun.

PUASA ENAM DAN PUASA QADHA’

Persoalan yang sering timbul, adakah boleh mengerjakan puasa enam dan puasa qadha’ secara serentak pada bulan Syawal dan bagaimanakah pula dengan ganjaran pahala yang akan diperoleh?

Lazimnya,persoalan ini timbul disebabkan oleh seseorang yang meninggalkan puasa pada bulan ramadhan samada secara sengaja mahupun tidak sengaja.


Bagi menyelesaikan permasalahan ini, para ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa bagi sesiapa yang meninggalkan puasa dengan sengaja maka wajib menggantikannya terlebih dahulu sebelum mengerjakan puasa enam. Manakala, bagi yang meniggalkan puasa disebabkan oleh perkara– perkara yang dimaafkan seperti wanita yang didatangi haid dan nifas, sakit, uzur dan sebagainya. Maka mengerjakan puasa qadha’ dan puasa enam syawal secara serentak adalah diharuskan mengikut niat masing– masing.

Ibnu Hajar al– Haitami dalam fatwanya menjelaskan mengenai niat orang yang mengerjakan puasa sunat dan puasa qadha’. Katanya jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan puasa wajib) mendapat ganjaran bagi kedua– duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya”.(Al-Fatwa al– Kubra : 2/75).

Oleh hal yang demikian, tidak menjadi masalah sekiranya menggabungkan puasa sunat dan puasa wajib dalam satu masa dan masing - masing akan mendapat ganjaran pahala mengikut jenis ibadat yang dikerjakan.

BEKON KPIPM 10/11 : TAK NAK HUTANG!!!!




OLEH : Biro Ekonomi KPIPM sesi 2010/2011

HUTANG adalah amalan yang agak sukar dihindari oleh sesetengah orang. Hal ini kerana mereka beranggapan hanya dengan berhutang segala keperluan hidup akan tercapai. Islam tidak melarang umatnya berhutang. Bagaimanapun, Islam tidak menggalakkannya, lebih-lebih lagi apabila hutang itu menjadi satu bebanan ketika hendak dilunaskan. Jika terpaksa berhutang hendaklah dia berazam dan berniat untuk membayar hutangnya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan menunaikan niatnya itu. Tetapi sesiapa yang mengambilnya dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayar), maka Allah akan membinasakannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)



Oleh sebab itu, awal-awal lagi Islam meletakkan beberapa syarat terhadap hutang-piutang sehingga orang yang berhutang tidak boleh lari daripada membayarnya.

Hal ini dijelaskan
Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang-piutang yang diberi tempoh ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (jumlah hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana yang diajarkan oleh Allah. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu lemah atau dia sendiri tidak mampu membayarnya, maka hendaklah dibayar oleh walinya dengan adil dan benar,oleh itu hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki di kalangan kamu. Kemudian jika tiada dua orang saksi lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa daripada saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Saksi itu janganlah pula enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada yang kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.” (Surah al-Baqarah ayat 282)


Menurut hadis di atas, Allah akan membayar hutang pada tiga golongan tersebut pada hari kiamat kelak. Hutang perlu dijelaskan segera. Sesiapa yang tidak menghiraukan hutangnya sehingga menyebabkan ia tertangguh terlalu lama dengan memberikan pelbagai alasan akan menyebabkan kesusahan kepada pemberi hutang,secara tidak langsung ianya juga boleh memutuskan tali silaturrahim sesama saudara islam.

Hal ini juga merenggangkan hubungan kedua-dua belah pihak. Melengah-lengahkan membayar hutang, sedangkan kemampuan untuk membayar hutang itu ada, adalah satu kezaliman.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya: “Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda: Penangguhan membayar hutang oleh orang kaya adalah perbuatan zalim.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, hindarilah perbuatan suka berhutang kerana ia bukan saja merosakkan kebahagiaan dan keharmonian hidup, malah membawa keburukan kepada diri sendiri,jadi marilah kita bersama-sama katakana tak nak pada hutang.

Saturday, October 2, 2010

Graduan Mithali 2010 pulang ke Malaysia



KAHERAH,2 Oktober- Selama 4 tahun menuntut ilmu di bumi Mesir ini,akhirnya kembali pulang ke tanah air. Itulah yang dilalui kepada mantan Timbalan Yang DiPertua KPIPM sesi 2009-2010,saudara Muhammad Amin bin Abd Rahman.

Beliau bukan sahaja aktif di dalam aktiviti persatuan,malah juga cemerlang di dalam pelajaran beliau. Beliau yang mengambil menuntut difakulti Syariah wal Qanun,jabatan Syariah Islamiah,Kaherah telah menamatkan pengajian dengan 4 tahun berturut-turut dengan pangkat Jayyid. Beliau juga merupakan pemegang anugerah Graduan Mithali pada Malam Anugerah Cemerlang baru-baru ini.

“Sahabat-sahabat sedang berada di bumi yang penuh barakah,kita sedang berada di bumi yang penuh barakah”. Tegas beliau semasa berucap di dalam Majlis Wada’ beliau semalam.


Hanya Allah S.W.T sahajalah yang mampu membalas segala jasa yang telah diberikan oleh beliau kepada kita. Semoga kepulangan beliau menjadi salah satu agen perubah kepada umat Islam di tanah air di dalam menjulang agama Islam itu sendiri.

Program HIKMAT '10 berjalan lancar



KAHERAH,30 September - Unit Sambutan Mahasiswa Baru ’10 telah mengadakan Hari Taklimat dan Silaturrahim (HIKMAT '10) khusus untuk mahasiswa/wi baru. Program yang berlangsung selama 3 hari tersebut bermula pada 28 September lalu,diadakan di Dewan Syeikh Sya’rawi,Wisma Darul Ridzuan A.

Program tersebut yang dirasmikan oleh pemangku pengerusi penasihat KPIPM 2010,saudara Muhammad Mujahid bin Ir. Hj. Mohammad Fadzil. Program ini juga telah disertai oleh 72 orang peserta,43 orang ikhwah dan 29 orang akhawat.


Terdapat banyak pengisian dan aktiviti yang diadakan sepanjang program berlangsung. Di antaranya, pengenalan Badan Hisbah,Unit Bait Muslim dan Biah Solehah,kita dan perlembagaan,prospektus Al-Azhar ,kenali PMRAM,Forum,GKB dan banyak lagi.

Segala pengisian ini diatur oleh AJK pelaksana adalah bagi memastikan semua mahasiswa/wi baru dapat menjalani kehidupan di bumi anbiya’ ini. Selain itu,ia juga menjelaskan tujuan wujudnya KPIPM di bumi Mesir ini,iaitu tidak lain dan tidak bukan adalah bagi menjaga kebajikan anak-anak Perak.

Slot terakhir yang dilihat menjadi tumpuan semua peserta iaitu motivasi kecemerlangan. Moga-moga motivasi yang disampaikan oleh saudara Syeikh Mohd Mujahid bin Sikh Nawawi,Naib Setiausaha Agung PMRAM itu menjadi perangsang kepada peserta untuk terus bersemangat menuntut ilmu di bumi yang penuh barakah ini.

Sebelum program berakhiri,semua peserta,AJK pelaksana dan AJKT bersama-sama membacakan doa wehdah sambil berpegangan tangan,sebagai bukti ikatan ukhuwah bersama.

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...