Wednesday, July 15, 2015

KENYATAAN BERSAMA YDP BKAN DI MESIR : ISU BERLAKU PENIPUAN BAYARAN ASRAMA DI KAHERAH



KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI (BKAN) DI MESIR

14 JULAI 2015

ISU  BERLAKU PENIPUAN BAYARAN ASRAMA DI KAHERAH


     Mesyuarat Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) pada hari ini yang dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad ‘Asri Bin Mohd Salim Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sesi 2014/2015 telah mengambil beberapa pertimbangan dalam isu berkenaan dengan dakwaan berlaku penipuan bayaran asrama di Kaherah yang telah tersebar berikutan kenyataan media Kedutaan Besar Malaysia Ke Kaherah dan Palestin bertarikh pada 13 Julai 2015 dan telah mencapai kesepakatan seperti berikut :

1. Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) menafikan berlaku penipuan sebagaimana yang dilaporkan sepanjang pengurusan BKAN kepada pelajar-pelajar baru ke Mesir setiap tahun. Pengurusan yang dilaksanakan di peringkat BKAN berjalan dengan telus dan dipantau dari semasa ke semasa oleh Yang Dipertua BKAN.

2. BKAN memohon pihak kedutaan agar memberikan penjelasan jelas dan terperinci berkaitan dakwaan yang berlaku. Justeru kenyataan umum yang dikeluarkan itu telah menimbulkan pelbagai persepsi yang kurang baik kepada BKAN dan telah mewujudkan suasana yang tidak selesa dalam kalangan ahli BKAN terutama di laman-laman sosial.

3. BKAN bersetuju akan menyusun satu pertemuan khas dengan pihak Duta Besar Malaysia ke Kaherah dan Palestin untuk menuntut penjelasan lanjut berkaitan perkara tersebut.

4. BKAN menasihatkan seluruh ahli agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang provokasi di laman-laman sosial dan tidak mengambil tindakan melulu.

ANAS BIN MOHD BHUKHARI   (YANG DIPERTUA BKASM)
MOHAMMAD BIN MOHAMAD ZIN  (YANG DIPERTUA KPKM)
SYAHID SYAMIL BIN RAMLI  (YANG DIPERTUA BKMIP)
USAMAH BIN ARIS    (YANG DIPERTUA BKPJM)
AHMAD RABBANI BIN ISMAIL   (YANG DIPERTUA BKKIMM)
AHMAD WALIYUDDIN BIN JOHARI  (YANG DIPERTUA KPT)
MOHD JASRY RAIMY BIN JOHARI  (YANG DIPERTUA BKPPPM)
MUHAMMAD ‘ASRI BIN MOHD SALIM  (YANG DIPERTUA KPIPM)
MUHAMMAD YASIN BIN AWANG  (YANG DIPERTUA BKAWM)
AHMAD MAHIR BIN C. NASRUDDIN  (YANG DIPERTUA KPP)
MOHD SHAFIQ BIN MOHD NASER  (YANG DIPERTUA MKKK)

#BersamaBersatu
#Satu_Fikrah_Satu_Amal

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Sunday, July 12, 2015

Ifthar Jama'ie 2015 : Bukti Kebersamaan Antara BKAN



Ifthor Jamaie 2015 : Bukti Kebersamaan Antara BKAN

HAYYU ‘ASYIR : 11 Julai 2015 :- Suasana Ramadhan 1436H di Mesir terus meriah dengan penganjuran Ifthor Jamaie yang dianjurkan bersama seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN), Pertubuhan Ikatan Lepasan  Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia dan Muslim Care Malaysia Society.

     Program yang dimulakan pada 6.15 petang di Dataran Hayyu Asyir dengan slot Sembang Santai bersama Ustaz Muhamad Hakimi Bin Hussin, Mantan AJKT BKASM ini berjaya mengumpulkan hampir 900 orang warga Malaysia yang terdiri daripada mahasiswa/wi dan Pegawai-pegawai Atase Pendidikan Negeri. Dengan kerjasama yang ditunjukkan menggambarkan bukti kebersamaan antara BKAN dalam memberikan khidmat kebajikan kepada ahli. Dalam masa yang sama, BKAN terus berusaha menerapkan aspek takaaful iaitu saling bantu-membantu sesama muslim sesuai dengan tarbiyyah Ramadhan yang menyeru kepada kesamarataan sesama muslim.

     Penganjur turut membawakan kepada hadirin yang hadir satu slot Muhadharah Ammah yang bertajuk Kesan Ramadhan Kepada Individu dan Masyarakat bersama Syeikh Dr Ali Abdul Basit Muzid yang merupakan pensyarah dan Ketua Bahagian Hadis Universiti Al-Azhar Bani Suef. Hadirin yang hadir melahirkan rasa berpuas hati dengan pengisian yang disampaikan dengan jelas dan menarik.
“Kami pelaksana program melahirkan rasa bersyukur dengan kelancaran dan keberjayaan program walaupun perancangan dan penyusunan hanya dalam masa singkat sahaja. Kami yakin keberjayaan ini hasil kebersamaan erat antara BKAN-BKAN dalam memimpin kesatuan anak-anak negeri di peringkat masing-masing dan dokongan ahli-ahli BKAN”, ujar Pengarah Ifthor Jamaie 2015, Muhammad Nur Syaza Jamal.






#BersamaBersatu
#Satu_Fikrah_Satu_Amal

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Saturday, July 4, 2015

BADAR KUBRA : KEYAKINAN PUNCA KEMENANGAN


BADAR KUBRA: 
KEYAKINAN PUNCA KEMENANGAN

     Peperangan Badar Kubra banyak memberikan pengajaran serta pedoman buat umat Islam dalam menghayati erti Ramadan yang sebenar. Kesungguhan para sahabat ketika itu dalam mempertahankan agama dan negara dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman:

(وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ)

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”
 [Surat Ali Imran : 123]

     Sungguhpun kerajaan Islam di Madinah baru sahaja berusia dua tahun, namun perjuangan demi mempertahankan agama juga negara yang dibina hasil kesungguhan hijrah Rasulullah ﷺ tetap diteruskan. Walaupun dalam keadaan kekurangan dari sudut kelengkapan perang dan jumlah tentera yang sedikit iaitu 313 orang, namun rahsia kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah adalah berpunca daripada keyakinan mereka kepada Allah SWT yang begitu kuat.
Allah SWT telah berfirman:

(وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِ قُلُوبُكُمْ ۚ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ)

“Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[Surat Al-Anfal : 10]

     Keyakinan yang tinggi mereka terhadap kemenangan yang dijanjikan oleh Allah tersemat dalam jiwa mereka. Dua keyakinan yang perlu ditekankan dalam menjelaskan intipati peristiwa yang agung ini adalah:

Keyakinan kepada Allah
Keyakinan kepada pemimpin

Keyakinan Kepada Allah
Keyakinan para sahabat kepada Allah dalam menghadapi perang 

     Badar adalah apa yang ditunjukkan oleh 'Umair ibn al-Hummam. Beliau yang lantas menunjukkan semangat terhadap janji Allah iaitu ganjaran syurga kepada mereka yang gugur syahid dalam perjuangan di medan-Nya sejurus sahaja khutbah daripada Rasulullah ﷺ:

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ , لاَ يُقَاتِلُهُمُ الْيَوْمُ رَجُلٌ فَيَقْتُلُ صَابِراً مُحْتَسِبًا , مُقْبِلاً غَيْرَ مُدْبِرٍ إِلاَّ أَدْخَلَهُ اللهُ الْجَنَّةَ .

“Demi ( Allah ) yang diri Muhammad di dalam genggamannya , Tidaklah seseorang yang berperang menentang mereka ( musyrikin ) hari ini lalu ia berperang ( berjuang ) penuh kesabaran dan penghayatan serta sedia menghadapi musuh tanpa gentar (berundur) melainkan Allah akan memasukkanya ke dalam syurga .”

Lalu 'Umair RA menyatakan semangat beliau dengan manyahut kata-kata Rasulullah itu:

أَفَمَا بَيْنِيْ وَ بَيْنَ أَنْ أَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلاَّ أَنْ يَقْتُلَنِيْ

Apa lagi yang berada antara aku dengan hasratku memasuki syurga jika tidak kerana mereka membunuhku.”

Kemudian 'Umair terus mencampakkan beberapa biji tamar yang berada ditangannya (yang siap untuk dimakan) lantas mencapai pedangnya dan ia turun berperang sehingga ia mati syahid.

Inilah antara keyakinan mereka terhadap janji Allah. Hanya kebergantungan mereka terhadap Allah yang utama.

Sebagai umat Islam yang didasari dengan aqidah yang mantap, perlu yakin dengan Allah SWT yang mampu memberikan rezeki, nikmat, musibah, kemenangan dan sebagainya. Hanya Dia-lah segala-galanya yang menentukan takdir seseorang manusia. Oleh sebab itu, umat Islam dituntut untuk memperkasakan doa kepada Allah dalam masa yang sama optimis dengan usaha dan cita-cita yang ingin dicapai.
Allah SWT berfirman:

(إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ)

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[Surat Al-Fatiha 5]

     Sesungguhnya kemenangan dan pertolongan daripada Allah itu perlu disatukan dengan kesabaran yang tinggi. Firman Allah SWT:

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ)

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
 [Surat Ali-Imran : 200]

Keyakinan kepada pemimpin

     Keyakinan mereka kepada Rasulullah ﷺ sebagai seorang Rasul juga sebagai pemimpin yang memandu rakyatnya ke arah kebaikan dibuktikan melalui kata-kata dua orang sahabat yang tekad mempercayai Nabi supaya mempertahankan Islam di medan Badar.

     Di saat umat Islam ketika itu yang masih ragu-ragu dan kurang keyakinan untuk mereka menang dalam peperangan ini, lalu Miqdad Miqdad bin al Aswad dari pihak Muhajirin tangkas tampil mengeluarkan kenyataan:

يَا رَسُولَ اللهِ اِمْضِ لِماَ أَرَاكَ اللهُ فَنَحْنُ مَعَكَ , وَ اللهِ لاَ نَقُوْلُ لَكَ كَماَ قَالَتْ بَنُوْا إِسْرَائِيْلَ لِمُوْسَى : اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِناَّ ههُناَ قَاعِدُوْنَ , وَلكِنِ اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِنَّا مَعَكُمَا مُقَاتِلُوْنَ , فَوَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوْ سِرْتَ بِنَا إِلى بَرْكِ الْغِمَادِ لَجَالَدْنَا مَعَك، مِنْ دُوْنِهِ حَتَّى تَبْلُغَهُ .

“Wahai Rasulullah , teruskan apa yang telah ditunjukkan kepada mu oleh Allah nescaya kami bersama, demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana berkata Bani Israel kepada Nabi Musa, pergilah kamu bersama tuhanmu, berperanglah kamu berdua , kami mahu tinggal di sini sahaja . Tetapi kami akan berkata : Pergilah kamu bersama tuhanmu , kami pasti akan berperang bersama kamu berdua, maka demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran.”

     Miqdad yang membandingkan keyakinan kaum Yahudi terhadap Nabi Musa AS yang mana tidak membantu memberikan komitmen kepada pemimpin mereka dalam memerangan taghut. Lalu Miqdad menyatakan bahawa umat Nabi Muhammad ﷺ bukan sepertimana yang ditunjukkan oleh kaum Yahudi, malah menyatakan sokongan serta dokongan beliau terhadap kepimpinan Rasulullah ﷺ.
Sejurus selepas itu, lalu bangkit pula seorang sahabat yang menguatkan kata-kata Miqdad dari kalangan Ansar seraya berkata:

فَقَدْ آمَنَّا بِكَ فَصَدَّقْناَكَ وَ شَهِدْناَ أَنَّ مَا جِئْتُ بِهِ هُوَ الْحَقُّ وَ أَعْطَيْناَكَ عَلى ذلِكَ عُهُوْدَناَ وَ مَوَاثِيْقَناَ عَلى السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ , فَامْضِ ياَ رَسُوْلَ اللهِ لِمَا أَرَدْتَ فَوَالَّذِيْ بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوِاسْتَعْرَضْتَ بِنَا هذَا الْبَحْرَ فَخُضْتَهُ لَخُضْناَهُ مَعَكَ مَا تَخَلَّفَ مِنَّا رَجُلٌ وَاحِدٌ , وَ مَا نَكْرَهُ أَنْ تَلْقَى بِناَ عَدُوَّناَ غَدًا , إِناَّ لَصُبُرٌ فِي الْحَرْبِ صُدُقٌ فِي اللِّقاَءِ . وَ لَعَلَّ اللهَ يُرِيْكَ مِنَّا ماَ تَقَرُّبِهِ عَيْنُكَ فَسِرْ بِناَ عَلى بَرَكَةِ اللهِ

“Demi sesungguhnya kami telah beriman kepadamu , percaya kepadamu , kami bersaksi bahawa apa yang kamu datangkan kepada kami itu adalah benar dan kami berikan atas dasar itu janji – janji dan ikatan kesetiaan . Kami sedia mendengar dan taat kepadamu. Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa sahaja yang engkau kehendak. Maka demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran , kalau sekiranya kamu bentangkan kepada kami laut yang luas lalu engkau mengharunginya nescaya kami akan mengharunginya bersamamu. Tiada seorang pun diantara kami yang akan berundur kebelakang dan tidaklah kami merasai benci apabila engkau bertemu musuh dan kami akan bersama kamu esok. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang sabar di medan perang , benar mengotakan apa yang kami kata sekiranya bertempur dengan musuh dan mudah-mudahan Allah membuktikan kepadamu dari kami , apa yang memuaskan hati kamu dengan melihat sendiri apa yang kami lakukan. Marilah kita teruskan perjalanan, mudah-mudahan Allah memberkati kita.

     Begitulah sikap yang ditunjukkan oleh para sahabat dalam meyakinkan orang lain terhadap kepimpinan Rasulullah ﷺ. Sepertimana yang kita makruf, keyakinan kita terhadap pemimpin adalah berdasarkan ketaatan kita kepada mereka. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
[Surat An-Nisa 59]

     Ketaatan kepada Allah dan Rasul merupakan syarat keimanan yang paling mutlak. Allah juga menyertakan ketaatan kepada pemimpin yang terkait kepada ketaatan pemimpin tersebut terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul.
Sabda Rasulullah :

اسمعوا وأطيعوا وإنِ استعملَ عليكم عبدٌ حبشيٌّ كأنَّ رأسه زَبيبة

Dengar dan taatilah, walaupun kamu dipimpin oleh seorang hamba Habasyi yang rambutnya seperti kismis.

Ketaatan kepada pemimpin dituntut demi menjaga keharmonian dalam masyarakat.

Telah berkata Saidina Umar Al-Khattab RA:
 
"Tiada Islam tanpa jama’ah, tiada jama’ah tanpa pemimpin, tiada pemimpin tanpa ketaatan."

     Oleh sebab itu, ketaatan kita kepada pemimpin walau apa sahaja medium sama ada kepimpinan keluarga, masyarakat, organisasi mahupun negara amat diperlukan. Selagimana arahan atau seruan yang dilaksanakan oleh pemimpin tidak melanggari hukum syarak dan masih berada di atas landasan masalihul mursalah, ia wajb untuk diikuti sekalipun suka atau duka.

Kesimpulan

     Kemenangan umat Islam pada peperangan Badar dapat dibuktikan dengan beberapa faktor besar yang menyumbang ke arah pertolongan Allah ini. Keyakinan terhadap dua perkara ini adalah faktor yang menjadikan umat Islam begitu optimis untuk keluar berjihad menuju ke Badar.

     Sikap yang ditunjukkan oleh para sahabat R.A perlu dicontohi oleh umat Islam pada hari ini. Tidak lahirlah pengorbanan, kesungguhan dan optimis tanpa kita meletakkan keyakinan kita kepada Allah lebih utama daripada yang lain. Itulah rahsia kemenangan umat Islam. Bukan sahaja bergantung kepada usaha, tapi perlu disertakan dengan doa dan tawakkal yang tinggi kepada Allah.



Amar 'Arif Bin Ahmad Po'aad
Kuliah Syariah Islamiah, Al-Azhar, Kaherah.

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN" 

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...